Foto: Facebook
Penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI), menjelaskan bahawa terdapat perbezaan keadaan mengantuk yang perlu difahami bagi menentukan kewajipan menunaikan solat.
Penjelasan itu dikongsikan beliau menerusi sedutan video ceramah di YouTube, susulan pertanyaan mengenai hukum tertinggal solat kerana tertidur akibat kesan ubat-ubatan.
Menurut UAI, keadaan mengantuk boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu mengantuk yang masih membolehkan seseorang sedar, dan mengantuk yang menyebabkan kehilangan kesedaran seperti pengsan atau mabuk.
“Jika mengantuk sehingga tidak mampu mendirikan solat dengan sempurna, maka jangan solat dahulu. Tunggu sehingga sedar sepenuhnya.
“Bagi mengantuk yang masih sedar, wajib menunaikan solat terutama apabila waktu semakin hampir tamat. Namun, bagi mengantuk yang menyebabkan seseorang hilang kesedaran, tidak dibenarkan solat sehingga dia kembali memahami bacaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, sekiranya seseorang masih berasa mengantuk selepas bangun tidur, dia boleh menangguhkan solat selagi masih berada dalam waktu yang dibenarkan. Contohnya, jika waktu Subuh belum tamat, solat boleh dilakukan pada penghujung waktu tersebut asalkan tidak terlepas.
UAI menegaskan, jika seseorang tidak sedarkan diri akibat kesan ubat yang diambil, maka dia dibolehkan menunaikan solat di luar waktu. Hal ini berpandukan Fatwa Ibnu Hajar Al-Asqalani yang menyatakan bahawa individu yang pengsan kerana berubat adalah dimaafkan jika menunaikan solat selepas waktu tamat.
“Yang tidak dibenarkan adalah mengambil ubat tepat pada waktu solat dengan niat supaya mengantuk dan meninggalkan solat. Hukumnya haram,” jelas beliau.
Dalam penjelasan tambahan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menyatakan bahawa seseorang boleh berhenti daripada solat jika mengantuk sehingga tidak sedar dengan bacaan dan perbuatannya. Dalam situasi tersebut, disarankan untuk tidur sebentar atau melakukan sesuatu bagi menghilangkan rasa mengantuk sebelum menyambung solat. Namun, jika masih sedar dan tahu bacaan, solat wajib diteruskan.
Sumber: YouTube
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.