Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng bakal menerima anugerah ‘Points of Light’ oleh Ratu Elizabeth II di atas usahanya membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Uncle Kentang berkongsi berita gembira itu kepada semua pengikutnya dan anugerah tersebut akan diberikan pada 12 Jun ini.
Tambahnya, dia menyifatkan ia sebagai satu penghargaan yang bermakna apabila menerima makluman berhubung anugerah tersebut menerusi e-mel.
“Sebenarnya penghargaan tersebut adalah untuk anda semua. Tanpa anda, kita tidak dapat membantu orang.
“Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri tetapi ia adalah hak anda semua dan rakyat Malaysia yang telah 'gila' menderma, membantu dan memberikan sokongan kepada semua inisiatif kita,” katanya.
Lebih mengagumkan, anugerah tersebut diberikan setiap minggu kepada individu dari negara Komanwel sebagai pengiktirafan dan penghargaan atas usaha serta sumbangan mereka terhadap masyarakat.
Anugerah itu diperkenalkan pada 2018 dan aktivis berusia 58 tahun itu menjadi rakyat Malaysia keempat yang menerima penghormatan berharga itu.
Terdahulu, Doktor 'Teddy Bear', Dr Madhusudhan Shanmugam; Pengasas gerakan 'Zero Waste Malaysia', Khor Sue Yee dan Aurora Tin; serta penyelidik penyu air tawar, Dr Chen Pelf Nyok juga antara rakyat Malaysia yang menerima anugerah itu.
Sumber: Awani
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.