Amalan mentahnik bayi atau dalam bahasa masyarakat kita dipanggil ‘belah mulut’ sudah tidak asing lagi.
Ia membawa maksud lelangit di dalam mulut dan secara umumnya ia dilakukan untuk membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi dan sebahagiannya dimasukkan ke dalam perutnya.
Secara kebiasaannya ia akan dilakukan oleh orang yang soleh atau solehah. Hukumnya adalah sunat sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam Nawawi, iaitu;
Maksud: “Bahawasanya, amalan tahnik bayi pada hari kelahiran, hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik.” (Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14″123)
Namun, berkaitan dengan waktu yang sesuai untuk mentahnikkan bayi anda, ulama telah bersepakat bahawa waktu yang sunat dilakukan adalah seawal usia dilahirkan.
Ertinya, ia boleh sahaja dilakukan pada hari pertama kelahiran bayi itu. Dan ada juga ulama yang menyebut bahawa ia perlu dilakukan sebelum bayi itu diakikahkan.
Imam Bukhari ada menyebut melalui kitabnya;
Maksud: “Bab pada menyatakan perbuatan menamakan bayi dan mentahnikannya pada waktu petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah.” (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:399)
Manakala, melalui sebuah hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA, beliau berkata:
Maksud: “Telah lahir bagiku seorang anak lelaki, maka aku datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda telah menamakannya Ibrahim dan mentahnikkannya dengan sebiji tamar serta mendoakannya dengan keberkatan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5647)
Justeru, waktu sunat untuk mentahnikkan bayi adalah seawal usia kelahirannya, iaitu pada hari yang sama ia dilahirkan. Walau bagaimanapun, dinasihatkan di sini supaya ibu bapa mengambil kira keselamatan bayi pada musim negara kita yang masih belum sembuh dengan COVID-19.
Hal ini adalah untuk mengelakkan kontak rapat bayi dan dalam masa yang sama untuk menjaga kesihatannya.
Sumber: tzkrh.com
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.