Bermula hari ini, Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Melaka membenarkan semua pusat pemberian vaksin (PPV) awam di negeri ini memberikan suntikan vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang belum menerima janji temu.
Menerusi kenyataan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman, hanya 50 individu terawal di setiap PPV akan mendapatkan vaksin melalui ‘walk in’ memandangkan bekalan vaksin yang terhad.
“Walk-in hanya dibenarkan bermula pukul 8.30 pagi hingga pukul 1 tengah hari. Warga emas, OKU atau waris peneman perlu membawa kad pengenalan penerima vaksin, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkaitan seperti penyakit kronik (sekiranya ada) ke PPV.
“Menerusi inisiatif ‘walk-in’ untuk warga emas dan OKU ini, adalah diharapkan Melaka akan segera dapat mencapai kadar vaksinasi 100 peratus buat golongan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, warga emas dan OKU yang telah mempunyai tarikh janji temu serta lokasi PPV, mereka dinasihatkan agar hadir ke lokasi yang telah ditetapkan.
“Mereka ini tidak dibenarkan 'walk-in' ke PPV lain kerana PPV telah ditetapkan,” katanya.
Sumber: Bernama
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.