
Foto: Instagram
Pelawak dan pelakon, Saiful Apek memberitahu bahawa dirinya tidak akan menjelaskan apa-apa mengenai perkembangan terkini rakan baik dan juga anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya.
Ketika ditemui, Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff atau mesra disapa Saiful Apek memberitahu setakat ini apa yang diketahui, Yassin akan pulang sebelum Aidilfitri nanti.
"Tunggu tuan empunya badan balik biar dia sendiri yang akan ceritakan apa yang berlaku sebenarnya sampai dia ditahan.
"Sebelum ini kami berdiam diri kerana menghormati keluarganya, tetapi daripada maklumat keluarga katanya Yassin akan balik sebelum raya,” jelasnya lagi.
Sepanjang ketiadaan Yassin, Saiful Apek berkata, dia sempat berbual sekali sahaja menerusi aplikasi Zoom dan bersyukur melihat perkembangan rakannya itu.
Ujar ahli kumpulan Senario itu, Yassin tidak ditahan di penjara sebaliknya di sebuah pusat pemulihan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Foto: Instagram
“Saya dapat cakap dengan dia sekali saja melalui Zoom. Dia sihat, dahulu saiz S sekarang sudah saiz M, kami pun gembira apabila dapat tahu cerita yang sebenar.
“Dia pun sudah tahfiz, hafaz 20 juzuk al-Quran, dapat kursus percuma. Tidak ada perkara terjadi secara kebetulan jadi kita doa yang baik-baik,” katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelawak popular yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi, Oktober lalu, atas kesalahan dadah dan sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan.
Bagaimanapun sekiranya berkelakuan baik, lelaki berkenaan boleh dibebaskan lebih awal berbanding tempoh hukuman sebenar yang dijangka selesai pada April.
Difahamkan, selebriti berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.
Sumber: Sinar Harian
Filled Under :
*Kami mempunyai hak untuk memadamkan komen yang menyentuh sensitiviti/tidak bersesuaian.